mutakhir

Tumpas kegiatan pindah balak waktu malam

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran mematahkan cubaan memindahkan kira-kira 30 tual balak pelbagai spesies di Kompartmen 10 Hutan Simpan Papai (HSP), dekat sini.

Serbuan kira-kira 8 malam semalam turut menyita traktor yang digunakan untuk menarik balak ditebang ke kawasan matau atau tempat simpanan balak.

Pegawai PHD Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, pihaknya menggerakkan serbuan itu bersama Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Pahang Timur sejurus maklumat.

Katanya, antara spesies pokok yang ditebang dalam HSP ialah meranti, kedondong, rengas dan kembang semangkuk.

"Kawasan berkenaan sebelum ini menjadi antara lokasi pemantauan dan rondaan secara berjadual dan ketika serbuan ditemui tual balak bernilai lebih RM19,500." katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit melakukan kerja menebang, mengumpul dan memindahkan balak pada waktu malam di samping, lokasi jauh ke dalam hutan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan pihaknya kini berusaha mengesan dalang kegiatan berkenaan.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 5:31pm
d