mutakhir

Lepasan SPM disaran ikuti pengajian di politeknik

Oleh Rosli Ilham

Dungun : Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disarankan mengikuti pengajian dalam bidang teknikal yang ditawarkan politeknik dalam usaha mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Zamra Derahman berkata, hasil kajian yang dilakukan, graduan lepasan politeknik di seluruh negara mampu memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi.

"Sebagai contoh, untuk tahun lalu, daripada 700 graduan PSMZA, seramai 95.6 peratus berjaya mendapat tempat di sektor industri.

"Ada graduan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan," katanya ketika merasmikan Karnival Pemadanan Kerjaya di di sini, hari ini.

Karnival Pemadanan Kerjaya yang dianjurkan selama sehari itu disertai 10 syarikat yang menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Zamra berkata, pihaknya menyambut baik langkah Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti meningkatkan promosi menarik lebih ramai lepasan sekolah mengikuti pengajian dalam bidang teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti.

"Kami di PSMZA berbesar hati dan terbuka dengan apa jua pelaksanaan serta inisiatif daripada pihak industri yang membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 7:25pm
d