mutakhir

Dakwaan caj berlebihan lesen tapak Bazar Raya Gua Musang palsu

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Polis merampas telefon bimbit milik seorang wanita berusia 29 tahun bagi menyiasat dakwaan berhubung Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengenakan caj berlebihan bagi pengeluaran lesen tapak Bazar Raya Gua Musang, yang tular di Facebook, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, telefon bimbit wanita berkenaan dirampas polis Sabtu lalu di Tanah Putih, di sini.

"Hasil siasatan mendapati MDGM masih belum mengeluarkan sebarang lesen tapak Bazar Raya Gua Musang yang akan beroperasi di sebuah pasar raya.

"Telefon bimbit yang dirampas akan dihantar ke makmal forensik digital bagi mendapatkan analisa mengenai kejadian ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya apabila menerima sesuatu perkara dan perlu selidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelak kesulitan pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 8:17pm
d