mutakhir

PDRM akan panggil semua saksi kes kematian Teoh Beng Hock

Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semua saksi berhubung kes kematian Teoh Beng Hock, 14 tahun lalu, bagi melengkapkan kertas siasatan yang dibuka kembali sebelum mengemukakannya semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat susulan AGC mengembalikan kertas siasatan Beng Hock kepada pegawai penyiasat (IO) bagi membuat rakaman percakapan lanjut saksi penting berhubung kematian pemuda berkenaan.

"Kertas siasatan terbabit sudah dikembalikan oleh pihak AGC kepada IO, pada 6 Januari lalu. PDRM sudah diminta untuk membuat rakaman percakapan lanjut saksi penting sebelum mengemukakan semula kertas siasatan itu kepada AGC bagi arahan selanjutnya.

"Sehubungan itu, PDRM akan memanggil semula semua saksi bagi melengkapkan kertas siasatan dan saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan," katanya melalui jawapan bertulis, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta menteri dalam negeri menyatakan status siasatan semula semula mendiang Teoh Beng Hock sejak 2018 dan kesudian Kerajaan Perpaduan menubuhkan satu pasukan siasatan baharu untuk menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 atau 304 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, PDRM membuka kembali kertas siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah) selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 2018.

Beng Hock ditemukan mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan itu pada 16 Julai 2009.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 8:42pm
d