mutakhir

4 pengikut ajaran sesat 'Si Hulk' diburu

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan empat lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk' yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW di aplikasi Tiktok, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Jainj sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di Tiktok, semalam.

Katanya, Jainj juga sudah membuat laporan polis dan meminta bantuan PDRM bagi mengesan empat lelaki yang dipercayai berasal dari daerah ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam, sejak Julai 2021.

"Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi sebenarnya ia adalah ajaran sesat Si Hulk. Video tular empat lelaki mengenai ajaran Si Hulk ini bermakna, ajaran sesat ini masih ada pengikut setia di negeri ini walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

"Situasi ini amat membimbangkan apatah lagi video itu dapat ditonton dengan bebas oleh generasi muda. Oleh itu, Jainj dan PDRM sedang giat mengesan empat lelaki berkenaan bagi tindakan susulan.

"Kerajaan negeri memberi amaran kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak supaya menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Sejak kelmarin, tular rakaman video berdurasi satu minit 17 saat memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat menyeleweng akidah antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah berkata, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan sudah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini, setakat ini.

Antara ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

"Orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

"Fahaman dan ajaran sesat yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 3:32pm
d