mutakhir

Kenderaan berat punca jalan Ibok rosak teruk [METROTV]

Oleh Rosli Ilham

Kemaman: Kenderaan berat yang berulang-alik melalui jalan Kampung Ibok ke Bandar Seri Bandi, di sini, didakwa menjadi punca sepanjang laluan utama itu rosak teruk.

Penduduk, Wan Mohd Jaafar Wan Abdullah,35, berkata jalan sepanjang lima kilometer itu rosak teruk sejak musim tengkujuh tahun lalu.

Menurutnya, jalan terbabit sudah dibaiki oleh pihak berwajib sejak dua tahun lalu, namun sejak dilalui kenderaan berat, jalan itu kembali rosak, malah lebih teruk.

"Jalan ini menjadi laluan utama pemandu kenderaan berat ke Bandar Chukai berikutan penutupan jambatan di Bandar Seri Bandi akibat hakisan.

"Selain menyebabkan jalan rosak, kehadiran kenderaan berat yang melalui jalan itu turut menimbulkan kebimbangan ketika berselisih dengan pengguna lain yang turut melalui jalan itu, "katanya.

Seorang lagi penduduk, Adnan Sulong, 60, berkata, setiap hari jalan itu dilalui lori dan treler mengangkut bijih, lori balak dan kenderaan berat lain sehingga menyebabkan struktur jalan menjadi pecah dan berlubang.

"Keadaan itu menyebabkan banyak kereta dan motosikal terbabit kemalangan serta kerosakan akibat mengelak dan melanggar jalan rosak serta berlubang di situ.

"Penduduk sangat bimbang terutamanya pada waktu malam yang lebih berisiko kerana sepanjang laluan itu sangat gelap," katanya.

Katanya, penduduk sangat berharap agar satu tindakan segera dapat diambil bagi menangani masalah itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung JPKK, Ibok, Zakaria Ali berkata, kenderaan berat terpaksa menggunakan laluan itu kerana ia lebih dekat ke bandar berhampiran berbanding laluan alternatif lain.

"Masalah ini sudah dikemukakan kepada pengetahuan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman untuk perbincangan lanjut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 9:44pm
d