mutakhir

Penduduk rayu segera pasang perangkap tangkap harimau [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Setiu: Penduduk Kampung Merbau Menyusut di sini, menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) segera memasang perangkap bagi menyelesaikan masalah harimau yang masih berkeliaran di kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merbau Menyusut, Mohd Zamri Embong berkata, sejak kehadiran haiwan liar itu bersama anaknya di kampung berkenaan, penduduk mendakwa hilang sumber pendapatan apabila tidak dapat menjalani aktiviti harian di kebun kelapa sawit dan getah kerana bimbang menjadi mangsa haiwan berkenaan.

Katanya, sebilangan besar penduduk kampung berkenaan mencari rezeki dengan hasil jualan sawit dan getah dan ia sekaligus menjejas pendapatan penduduk.

"Ahad lalu pemilik lembu yang mati dipercayai dibaham harimau ketika mencari tiga lagi lembunya yang hilang.

"Dua daripada haiwan terbabit sudah ditemui sebelum ini, seekor sudah mati manakala seekor lagi ditemui cedera berhampiran padang ternak kira-kira 250 meter dari jalan besar.

"Sehari sebelum kejadian itu, penduduk mendakwa terserempak dengan harimau berkenaan bersama anaknya di kawasan kebun getah belakang rumah penduduk," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, sementara menunggu Perhilitan memasang perangkap, penduduk atas saranan Perhilitan mengambil inisiatif memasang tali dan tanda amaran di laluan utama ke kawasan kebun bagi mengelak penduduk keluar masuk di kawasan berkenaan.

Penduduk, Ismail Sulaiman, 65, berkata, kehadiran harimau berkenaan disedari sejak dua minggu lalu, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan daripada pihak yang berkaitan.

"Kini beberapa haiwan ternakan milik penduduk mati dipercayai dibaham harimau.

"Kita tidak mahu satu hari nanti penduduk pula yang menjadi mangsa kerana penduduk masih bertemu haiwan berkenaan berkeliaran terlalu dekat dengan rumah penduduk dan pagar sekolah kampung berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 12:32am
d