mutakhir

'Arwah pernah kata kalau lepas bayar yuran sekolah anak jadilah'

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: "Sebelum suami saya jatuh ke laut, arwah sempat menghantar pesanan WhatsApp menyatakan tangkapan udang kurang... (kalau) lepas bayar yuran sekolah anak jadilah," kata Halimatul Noor Akira Omar, 30, isteri kepada seorang nelayan yang ditemukan lemas selepas jatuh ke laut, kira-kira lima batu nautika dari jeti Kampung Nenasi, dekat sini, Khamis lalu.

Halimatul Noor Akira berkata, suaminya, Mohd Syamsul Helmi Abdul Aziz, 35, keluar rumah jam 8.30 pagi dan difahamkan turun ke laut, 3.30 petang, Rabu lalu.

Dia dipercayai terjatuh ke laut, awal pagi Khamis, ketika menangkap udang bersama dua lagi rakannya.

Menurut ibu tiga anak itu, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya, kira-kira jam 3 pagi, Khamis lalu, selepas dihubungi oleh adik iparnya.

Katanya, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaannya ketika itu.

Ketika itu, dia tetap berdoa semoga suaminya ditemukan selamat walaupun ia agak mustahil.

"Saya tidak pernah menduga dengan apa yang berlaku, arwah tidak menunjukkan kelainan, malah kehidupan kami sekeluarga sentiasa ceria melayan tiga cahaya mata, Muhammad Naqib Ramadhan, 6: Nur Hanan Aiman, 3, dan Muhammad Harraz Rizqi, 11 bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beluru, Nenasi, dekat sini, semalam.

Beliau menambah, beberapa hari sebelum kejadian, dia melihat perubahan pada diri suaminya apabila banyak termenung sambil duduk sendirian.

Halimatul Noor Akira berkata, dia masih ingat arwah pernah menyatakan dia tidak berminat turun ke laut lebih daripada tiga orang dalam satu bot, alasannya kalau ramai, pendapatan akan diraih berkurangan.

"Saya bersyukur akhirnya mayat suami ditemukan jam 10.30 pagi Khamis, selepas tersangkut dalam pukat yang dipasang oleh nelayan yang terbabit dengan operasi pencarian.

"Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun terlalu pahit untuk dilalui, pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Saya perlu tabah menghadapi ujian yang begitu berat ini," katanya yang kini tinggal bersama ibu, Zainab Muhamad, 62, yang mengalami masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 8:47am
d