mutakhir

Empat zon penggabungan kaunter, atasi kesesakan di Tambak Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Empat zon penggabungan kaunter akan diwujudkan di Tambak Johor bagi mempercepatkan kemasukan kenderaan sekali gus mengatasi kesesakan di tambak berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif baharu bagi mengurangkan kesesakan itu sedang diperincikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, ketika ini kenderaan yang memasuki Johor menerusi Tambak Johor perlu berhenti di dua kaunter berasingan untuk pengesahan pasport selain urusan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) dan Touch 'n Go.

"Penambahan kaunter di Tambak Johor sedang disiapkan dengan empat zon akan diwujudkan bagi penggabungan kaunter.

"Apabila penggabungan kaunter beroperasi, masa beratur di Tambak Johor akan dapat dikurangkan.

"Ia sekali gus akan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor apabila pengguna tidak lagi perlu berurusan di dua kaunter sebaliknya hanya berurusan di satu kaunter saja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Terdahulu, Andrew Chen Kah Eng (Stulang-PH) yang juga Ketua Pengimbang, berkongsi dengan Ahli Dewan mengenai luahan kekecewaan seorang selebriti Singapura, Wang Lei, di Facebook kerana terkandas selama hampir empat jam di Tambak Johor ketika memasuki negara ini, empat hari lalu.

Dalam pada itu, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, kerajaan Persekutuan juga sedang giat menangani isu kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) termasuk memperluaskan penggunaan 'autogate'.

Katanya, 'autogate' kini bukan saja digunakan warganegara malah warga Singapura turut boleh menggunakannya bagi mengurangkan kesesakan

"Bagi penambahan M-Bike pula, daripada 50 lorong untuk laluan keluar dan masuk Johor terdapat penambahan 25 laluan lagi untuk setiap satu.

"Jadi penambahan M-Bike itu, pihak JIM sedang memperhalusi supaya perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 11:25am
d