mutakhir

Lelaki memiliki pelbagai rekod jenayah dibunuh

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Lelaki yang memiliki pelbagai rekod jenayah ditembak mati di kedai serbaneka di Taman Melodies di sini, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan motif pembunuhan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 30-an memiliki pelbagai rekod jenayah dan pernah diburu bagi membantu siasatan polis.

Menurutnya, pihaknya juga masih menjalankan siasatan pembabitan mangsa dalam kumpulan kongsi gelap.

Mangsa difahamkan dibunuh dan terbaring di kedai serbaneka berkenaan.

Malah sekumpulan lelaki juga dikatakan merusuh di kediaman mangsa termasuk merosakkan kalung bunga serta menolak keranda mendiang hingga mengganggu upacara pengebumian.

"Ketika upacara pengebumian di satu lokasi bandar raya ini pada 2.30 pagi, sekumpulan lelaki iaitu kira-kira 20 lelaki menimbulkan kacau ganggu atau bertindak merusuh.

"Polis sedang memburu kumpulan lelaki itu dan akan menjalankan siasatan sama ada mereka terbabit dalam kes tembak.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya bagaimanapun tiada maklumat berkaitan pembabitan mendiang dalam kes pembunuhan di stesen minyak di pada 2017.

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 3:51pm
d