mutakhir

'Dia masih sama, tetap anak kandung saya'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Tiada apa yang berbeza walaupun nama dan agamanya berubah. Dia tetap anak yang saya kandung sembilan bulan," kata M Muniamah.

Muniamah, 72, adalah ibu kepada Muhammad Mikhael Sathayah, 39, yang tular di media sosial kerana hubungan erat dua beranak itu biarpun berlainan agama.

Katanya, dia menerima keputusan anak kesayangannya itu menukar agama dengan lapang dada biarpun ia bukan sesuatu yang mudah.

Menurutnya, malah sebelum itu, dia juga berasa terkejut, bimbang dan sedih jika kehilangan Muhammad Mikhael dengan keputusannya itu.

"Tetapi jika dia gembira saya juga gembira kerana sebelum ini anak tidak gembira dan selalu susah hati. Jadi jika itu pilihannya saya terima asalkan dia gembira dalam kehidupannya.

"Malah sehingga kini walaupun sudah menukar agama dia masih anak saya yang dulu, menyayangi dan menjaga kebajikan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia juga gembira melihat perubahan yang baik dalam hidup anaknya itu dan mengakui turut menyokong minat serta kandungan TikTok anaknya itu.

Sementara itu, Muhammad Mikhael berkata, dia berasa Ramadan kali ini lebih bermakna apabila ramai rakan di media sosial turut menyayangi ibunya selain berpeluang mengenali lebih ramai individu untuknya mendalami Islam.

"Setiap tahun Ramadan adalah bermakna tetapi kali ini lebih bermakna kerana ramai yang menyayangi mak. Saya berterima kasih dengan semua doa serta sokongan diberikan kepada kami," katanya.

Harian Metro melaporkan, biarpun berperwatakan seperti 'gengster' dengan turut memakai rantai besi besar, bersinglet serta riak muka yang garang, membuatkan Muhammad Mikhael tampak menggerunkan namun sebenarnya lelaki itu 'anak mak'.

Hubungan baik Muhammad Mikhael dengan ibu, Muniamah yang digelar 'mak titew' sangat erat biarpun berlainan agama kerana pemuda berasal dari Tambun, Perak itu memilih memeluk Islam.

Hubungan erat dua beranak berbangsa India itu juga dilihat melalui video yang kerap dikongsikan Muhammad Mikhael yang turut menggelarkan diri 'muka gengster' di akaun TikTok miliknya.

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 8:04pm
d