mutakhir

Seludup Pati Filipina, sembilan direman

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Sembilan individu termasuk lima pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui lapangan terbang, di sini.

Majistret Leona Dominic Mojiliu mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga 29 Mac depan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki masing-masing bertugas Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara 2 petang hingga 9 malam semalam menerusi Ops Lancar.

Manakala, empat lagi individu disyaki ejen ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dan sekitar daerah ini antara 3 petang hingga 5 petang hari yang sama.

Kesemua mereka disyaki menerima wang suapan berjumlah antara RM100 hingga RM3,000 bagi setiap Pati daripada ejen sebagai dorongan untuk melepaskan mereka yang menggunakan kad pengenalan orang lain daripada pemeriksaan di Lapangan Terbang Tawau.

Berdasarkan siasatan dan risikan, sindiket terbabit dipercayai bermula sejak 2021 membabitkan penyeludupan keluar Pati dari Sabah ke Semenanjung melalui lapangan terbang.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 5:56pm
d