mutakhir

PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Ampang: Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon Menteri Besar (MB) yang akan dijadikan 'poster boy' di Negeri Sembilan dan Selangor, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN yakin dapat menguasai Selangor dan Negeri Sembilan selain sebahagian daripada Pulau Pinang.

"Mungkin di Negeri Sembilan kita akan ada calon Menteri Besar daripada PN. Di Selangor ada calon Menteri Besar daripada PN... itu 'poster boy' lah.

"Kita akan highlight (ketengahkan) calon Menteri Besar kita (kelak)," katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel di sini.

Majlis turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun apabila ditanya media nama calon itu, beliau enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, PN sudah memuktamadkan pembahagian kerusi bagi peringkat negeri yang membabit gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

"Kita sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat negeri. Pada peringkat pusat akan buat 'adjustment' (perubahan) sikit mengikut keperluan.

"Harmoni (pembahagian kerusi). Ia akan diselesaikan di peringkat pusat," katanya.

Menurutnya, PN juga melantik mas'ul atau koordinator dalam kalangan pemimpin negeri di negeri yang menghadapi PRN, dengan mas'ul itu supaya penyelesaian sesuatu isu dengan cepat dan tidak dilanjutkan hingga ke peringkat pusat.

"Jadi semua isu yang tak perlu sampai ke pusat, pakai mas'ul ini, pakat bincanglah. Ia untuk selesai lebih cepat dan pantas kita buat keputusan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin atau popular digelar KJ yang dikatakan akan mewakili PN pada PRN ini, Muhammad Sanusi menyifatka ia spekulasi.

"Tetapi kalau jika betul (KJ bertanding mewakili PN), ia adalah satu kelebihan," katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2023 @ 9:53pm
d