mutakhir

TPM berbuka puasa bersama 1,500 penduduk [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyantuni 1,500 penduduk dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini malam ini.

Kesemua yang diraikan terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat di sekitar daerah ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kepada pusat anak-anak yatim berjumlah RM21,000 berserta duit, baju dan hamper raya.

Beliau turut menyampaikan bantuan kit peralatan dan kursus Quick Win KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) kepada 60 orang penerima dalam bidang jahitan, masakan, seni tangan dan dandanan diri dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM210,000.

Kesemua penerima bantuan itu terdiri daripada belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal yang tergolong dalam kategori B40 luar bandar.'

Terengganu menjadi lokasi keempat daripada 13 negeri bagi Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Program pertama bermula di Selangor pada 24 Mac lalu dengan majlis berikutnya akan dianjurkan di Pahang, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah/Perlis, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan dan berakhir di Sarawak.

Disiarkan pada: March 28, 2023 @ 9:14pm
d