mutakhir

Warga emas bergelut dengan penguatkuasa MBPJ dituduh Jumaat ini

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Warga emas yang terbabit dalam pergelutan dengan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dituduh di mahkamah Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk mendakwa lelaki terbabit pada Jumaat ini (31 Mac),"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung pergelutan antara anggota penguat kuasa MBPJ dan orang awam ketika operasi tangkapan anjing liar di Taman Kanagapuram, di sini.

Polis menerima laporan daripada seorang anggota penguat kuasa yang terbabit dalam operasi itu pada 10 pagi.

Ketika operasi dijalankan, seorang lelaki didakwa cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya.

Pasukan penguat kuasa cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis, namun gagal kerana dihalang.

Disiarkan pada: March 29, 2023 @ 4:32pm
d