mutakhir

Kebakaran ragut empat beradik: Jiran sangka tiada siapa di rumah

Oleh BERNAMA

Muar: Beberapa penduduk di Kampung Sabak Awor tidak menyangka kebakaran yang berlaku Maghrib semalam berakhir dengan tragedi meragut nyawa empat beradik kerana beranggapan tiada siapa di rumah.

Jiran terdekat, Limat Sawal, 53, berkata, ketiadaan Perodua Kancil yang biasa membawa keempat-empat kanak-kanak itu keluar, menguatkan lagi anggapan mereka tiada orang di rumah ketika itu.

"Biasanya kami melihat keempat-empat anak ini bermain di luar rumah dan ada kereta tetapi semasa kejadian, tiada kereta, jadi kami fikir tiada orang.

"Kami memang tidak sangka terdapat mangsa di dalam dan hanya menyedari ada mangsa di dalam apabila ibu mangsa yang baru tiba memaklumkan anaknya masih di dalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Limat yang tinggal kira-kira 100 meter daripada rumah mangsa itu berkata, dia antara yang terawal menyedari akan kebakaran turut memanggil penduduk lain untuk sama-sama memadamkan api.

"Kejadian berlaku terlalu pantas, kami berusaha padamkan kebakaran dengan menjirus air daripada paip berdekatan.

"Saya rasa sangat sedih dan hiba. Saya tak sanggup melihat keadaan kanak-kanak itu yang seusia lebih kurang cucu saya. Ibu mereka ada bergaul dengan orang dan sering bertanya khabar, anak-anaknya juga selalu bermain di sini, jadi saya sedih," katanya.

Seorang lagi, Idris Sehan, 76, berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas selesai solat terawih.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan ada rumah terbakar dan lebih mengejutkan lagi, rumah itu adalah rumah sepupu saya yang disewakan kepada keluarga itu sejak empat tahun lalu," katanya, memaklumkan ibu bapa mangsa kini tinggal di balai raya selepas kehilangan tempat tinggal.

Dalam kejadian 7.49 malam tadi, empat kanak-kanak yang maut sebelum itu dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran dengan bersembunyi di bilik air di bahagian dapur rumah berkenaan.

Disiarkan pada: March 30, 2023 @ 3:21pm
d