mutakhir

Kerajaan tanggung kos pengebumian 4 beradik, bantu keluarga [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh dan Ahmad Ismail

Muar: Kerajaan Johor menanggung kos pengurusan jenazah dan pengebumian empat beradik yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, semua keperluan ibu bapa kanak-kanak terbabit juga ditanggung, termasuk tempat tinggal berikutan rumah sewa mereka hangus terbakar.

Katanya, sebuah inap desa sudah disediakan buat suami isteri itu, Thein Ko Htut, 30, dan Nabila Sedu, 31, sebagai penginapan sementara.

"Saya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail hadir sebagai wakil kerajaan negeri menzahirkan ucapkan takziah kepada keluarga empat anak syurga ini.

"Kerajaan Johor dan semua rakyat mendoakan keluarga banyak bersabar dalam menghadapi ujian besar ketika Ramadan ini.

"Hari ini saya sampaikan bantuan tunai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebanyak RM3,000, Pejabat Daerah Muar RM2,000 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300," katanya.

Beliau juga berkata, keperluan harian pasangan itu akan diselia JKM, manakala MAINJ akan menyediakan rumah sewa baharu yang mungkin berhampiran Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, tempat empat beradik dikebumikan.

Mohd Fared mengalu-alukan sumbangan masyarakat terhadap suami isteri itu dan berharap ia disalur kepada Pejabat Daerah atau Ketua Kampung untuk diselaras, agar tidak mengganggu keluarga.

Malam tadi, empat beradik berusia antara lapan hingga tiga tahun maut selepas terperangkap dalam rumah yang terbakar di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor pada 7.49 malam.

Disiarkan pada: March 30, 2023 @ 4:53pm
d