mutakhir

Kekosongan guru bersara awal diganti segera [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kekosongan akibat guru bersara awal atas sebab tertentu akan diisi dengan segera bagi memastikan ekosistem pendidikan tidak terganggu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya maklum isu yang berlaku namun melihat faktor penyebab guru bersara awal tidak dipengaruhi oleh sebab negatif semata-mata.

"Kita ambil maklum isu guru bersara awal dan sebenarnya ada banyak faktor, bukan disebabkan faktor negatif semata-mata.

"Ada juga faktor guru bersara awal disebabkan faktor keluarga, kewangan yang sudah stabil tetapi kita tidak nafikan ada isu lain seperti kesihatan, kesenjangan menguasai digital dan masalah mental.

"Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa ambil serius isu ini dan sudah sediakan pelbagai langkah untuk mengatasi guru bersara awal ini termasuk perbincangan kita dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan supaya segera diganti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru Perlis di Kangar di sini, semalam.

Katanya, KPM sentiasa cuba meningkatkan profesionalisme supaya guru boleh terus bertahan dalam sistem pendidikan ini.

"Melalui sokongan ekosistem berkait rapat dengan hubungan kesihatan mental dan emosi, sokongan profesionalisme dan pembangunan, mereka dapat melihat hala tuju kerjaya dengan jelas.

"KPM juga tidak ambil mudah isu penempatan guru ini kerana kekurangan guru akan memberi kesan kepada sekolah dan keseluruhan sistem pendidikan," katanya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun akhir ini, jauh melebihi statistik KPM.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Isu ini sangat mengejutkan apabila 'trend' guru bersara awal kian meningkat dari tahun ke tahun. Antara sebab guru mahu bersara awal adalah kerana persoalan sistem pendidikan negara ditambah lagi tekanan kerja menyebabkan golongan pendidik lesu dan mendorong mereka untuk 'menarik diri' setelah berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 12:36pm
d