mutakhir

Tawar pakaian untuk 100 terawal tapi diserbu 500 orang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Shah Alam: Gara-gara promosi jualan pakaian untuk Hari Raya Aidlfitri pada harga RM1 menyebabkan sebuah premis pakaian di Seksyen 7, di sini, diserbu orang ramai sehingga berlaku kekecohan, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kekecohan ketika kedai berkenaan baru mula beroperasi kira-kira 10.30 pagi.

Katanya, difahamkan premis berkenaan membuat promosi untuk 100 orang terawal untuk membeli pakaian pada harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

"Bagaimanapun, dianggarkan lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi (RM1) itu sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan.

"Atas faktor keselamatan, pengurusan kedai itu bersetuju menghentikan operasi premis pada 11.45 pagi kerana tidak dapat mengawal jumlah pengunjung yang hadir," katanya dalam kenyataan, hari ini

Mohd Iqbal berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini.

"Golongan peniaga perlu sentiasa peka dan tidak membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang," katanya.

Terdahulu, terdapat rakaman video memaparkan kekecohan semasa orang ramai menyerbu kedai pakaian tular di media sosial sejak semalam.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 2:09pm
d