mutakhir

Tiket bas 'laku keras'

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Jualan tiket bas ekspres untuk pulang beraya bagi kawasan utara dan timur tanah air laris dan kebanyakannya sudah habis dijual.

Tinjauan Harian Metro di Hentian Duta mendapati, tiket bas untuk pulang beraya ada yang habis sejak pertengahan Mac lalu.

Pegawai Operasi Sani Express Hentian Duta, Faizul Rahman Zulkifli berkata, pihaknya sudah habis menjual tiket untuk perjalanan ke utara dan pantai timur bagi tarikh 18 hingga 21 April.

"Tiket ini habis dibeli orang ramai sejak 19 Mac lalu," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, berkemungkinan akan ada pengumuman daripada pihak Sani Express mengenai penambahan bas untuk pulang beraya pada 10 April nanti.

"Tapi perkara ini masih lagi tak pasti sebab pemandu tak cukup," katanya.

Kerani Mara Liner Hentian Duta, Hana Mohd Rapi turut menyatakan tiket bas ekspres pulang beraya bagi kawasan utara sudah habis dijual untuk tarikh 18 hingga 21 April.

"Tiket ini habis dibeli orang ramai pada Sabtu lalu. Bagaimanapun akan ada penambahan bas untuk dua trip lagi pada 19 dan 20 April.

"Orang ramai yang mahu pulang beraya bagi tarikh ini bolehlah membeli tiket pada tarikh itu dengan segera," katanya.

Pengurus Operasi Cosmic Express Hentian Duta, Nurul Syahilla Abu Hasan berkata, sebanyak 80 peratus tiket pulang beraya bagi kawasan utara pada 18 hingga 21 April sudah habis dijual olehnya.

"Tiket pada 18 hingga 21 Mac sudah habis hampir 80 peratus dan ada tinggal sedikit saja lagi," katanya.

Nurul Syahilla berkata, akan ada pengumuman mengenai penambahan bas untuk pulang beraya pada minggu hadapan.

"Minggu depan kita akan umum mengenai penambahan bas," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2023 @ 12:19pm
d