mutakhir

Dia bukan mat rempit, tetapi lari dari polis kerana panik - Polis

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis mengesahkan lelaki yang melarikan diri dalam operasi membasmi aktiviti lumba haram atau 'mat rempit' di Jalan Jepang, di sini, yang videonya tular di media sosial, hari ini hanya orang awam yang mengalami serangan panik tanpa melakukan sebarang kesalahan.

Video kejadian berdurasi 38 saat tular melalui laman Twitter atas akaun bernama 'Nan Manjoi8715' dan dikesan pihak polis sejak hari ini.

Berdasarkan video itu, dalam kejadian kira-kira 2 pagi semalam, seorang lelaki dilihat melarikan diri sambil memakai topi keledar dan meninggalkan motosikal ditunggangnya ketika dihampiri anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum menyelinap masuk ke dalam sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, individu terbabit hanya orang awam yang berada di situ yang memerhatikan pelaksanaan operasi di lokasi kejadian.

Yahaya berkata, lelaki itu tidak ditahan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Malah, beliau turut menegaskan lelaki itu hanya sebagai awam yang menonton sewaktu operasi itu di lokasi.

"Dia bukan seorang 'mat rempit', tetapi dia panik dan melarikan diri ketika motosikal berkuasa tinggi ditunggang anggota polis tiba di lokasi kejadian secara mengejut.

"Tiada (kesalahan dilakukannya). Dia hanya sebagai pemerhati (di situ). Anggota kami di situ hanya cuba untuk mengelakkan sebarang aktiviti lumba haram di situ ketika kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, ketika kejadian sepasukan polis daripada cawangan Penguat kuasa, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan operasi samseng jalanan di lokasi selepas menerima aduan awam mengenai aktiviti lumba haram di Jalan Jelapang.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, polis mengeluarkan 49 saman trafik atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.

"Operasi sebegini akan dijalankan secara berterusan di seluruh bandar raya Ipoh bagi membanteras aktiviti lumba haram yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2023 @ 8:26pm
d