mutakhir

Ada 'bekal' daripada arwah isteri buat keluarga [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Saya terkejut menerima panggilan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang memberitahu saya menerima pencen penakat RM300 sebulan selepas kematian isteri," kata Kamarolzaman Che Ahmad, 52.

Kamarolzaman layak menerima pencen penakat selain memperoleh Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000 selepas arwah isteri, Che Saripah Husin, meninggal pada 10 Februari lalu, akibat komplikasi kencing manis dan masalah pada paru-paru.

Katanya, dia terkejut kerana tidak mengetahui akan status arwah isteri yang juga suri rumah didaftarkan secara automatik oleh inisiatif kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

"Beberapa tahun lalu, saya membawa arwah ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengisi skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri). Mungkin kerana sibuk menjaga isteri sakit saya tidak peka akan usaha kerajaan yang mendaftarkan secara automatik di bawah SKSSR.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PERKESO yang tampil mencari saya untuk memaklumkan perkara ini dan wang yang diterima ini boleh lah saya gunakan untuk membesarkan dua lagi anak yang masih bersekolah.

"Isteri saya sudah pergi buat selama-lamanya tetapi saya perlu kuat untuk meneruskan kehidupan, tambahan pula, anak bongsu masih di Tahun Tiga dan perlukan perhatian sepenuhnya untuk membesar," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan daripada Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, di kediamanya di Kampung Perupok, Chetok, di sini, hari ini.

Kamarolzaman yang juga bapa kepada lima cahaya mata, berkata pencen yang diterima akan digunakan sebaiknya untuk menampung kehidupan seharian memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh.

"Saya sendiri sudah tidak mampu bekerja kuat selepas jatuh di tempat kerja dan mengalami patah tangan. Sekrang hanya mengharapkan sisa wang simpanan yang ada serta peluang kerja yang tidak menentu.

"Tidak sangka, walaupun isteri sudah pergi buat selama-lamanya ada lagi 'bekal' yang ditinggal untuk bantu saya membesarkan anak-anak dan Insya-Allah saya akan gunakanya dengan baik.

"Terima kasih pada kerajaan dan PERKESO Kelantan yang banyak memudahkan urusan saya sepanjang tempoh yang sukar ini," katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2023 @ 1:45pm
d