mutakhir

Lebih 70,000 banduan sihat, produktif berpeluang dapat kerja [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Lebih 70,000 penghuni di dalam penjara atau banduan sedang dipenjarakan yang dalam keadaan sihat serta masih produktif berpeluang mendapat pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, ia boleh dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama dengan kerjasama strategik Jabatan Penjara.

Beliau berkata, kolaborasi strategik itu bukan saja memberi manfaat kepada golongan mudah terjejas berkenaan malah inisiatif itu dijangka dapat membantu majikan di negara ini mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.

"Ia juga sekali gus mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing. KSM bersama Jabatan Penjara mensasarkan seramai 15,000 banduan mendapat kerja tahun ini.

"Banyak lagi majikan prihatin yang sanggup datang ke hadapan untuk memberi peluang kepada golongan ini dan kita akan cuba untuk dapatkan lebih ramai majikan untuk membantu lebih ramai banduan yang produktif supaya boleh menjadi sumber tenaga kepada negara.

"Jika tidak, kita akan kerugian sumber manusia ini. Seperti saya maklumkan, kita terlalu bergantung kepada pekerja asing pada masa ini sedangkan kita memang mempunyai ramai tenaga kerja yang masih boleh digunakan. Jadi ini adalah satu inisiatif diambil oleh kedua-dua pihak," katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis menandatangani nota kolaborasi (NOC) antara Perkeso dengan Jabatan Penjara di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Sivakumar menyeru pihak industri dan sektor swasta supaya lebih proaktif dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan seumpamanya demi melahirkan masyarakat madani yang berdaya saing bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian."Kepada majikan, kita tidak mensyaratkan (pengambilan penghuni penjara untuk bekerja) tetapi kita akan menggalakkan.

"Kita akan adakan program tertentu untuk pengetahuan majikan bahawa ini adalah satu lagi sumber manusia di mana boleh mendapatkan pekerja yang produktif dan mengelakkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Kita akan lihat kaedah atau mekanisma terbaik untuk membolehkan majikan bersedia untuk menerima lebih ramai banduan atau bekas banduan sebagai pekerja mereka," katanya.

Terdahulu Nordin dalam ucapannya menjelaskan secara keseluruhan sejak 2021 seramai 4,019 orang penghuni penjara sudah mendapat manfaat menerusi kerjasama antara Penjara dengan Perkeso.

"Mengambil kira kadar gaji minimum RM1,500 sebulan, sebanyak RM6,028,500 nilai produktiviti sudah berjaya dicairkan daripada penjara.

"Sehubungan itu, usaha mencairkan produktiviti yang dibekukan kesan dari pemenjaraan akan turut menjadi fokus utama jabatan.

"Pada hari ini, kira-kira seramai 77,000 daripada anggaran 80,000 penghuni penjara masih lagi dalam kategori produktif yang dapat menyumbang nilai produktiviti sekurang-kurangnya RM1.39 bilion setahun kepada negara," katanya.

Menurutnya, jumlah itu juga dapat menggantikan 3.85 peratus daripada keperluan buruh asing bagi membangunkan sektor ekonomi negara.

Untuk rekod, statistik Jabatan Penjara menunjukkan seramai 74,842 adalah penghuni di dalam penjara, 5,860 (kategori penghuni luar penjara) seperti orang diparol (ODP), orang bekas berlesen (OBB), penghuni bebas lesen (PBL), Pusat Reintegrasi Penjara (PRP), Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) dan Rumah Perantaraan (RP) dengan keseluruhannya berjumlah 81,011 orang.

Sementara itu seorang daripada ODP yang mahu dikenali sebagai Atan, 30-an, berkata, dia terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah dan turut menerima surat tawaran kerja hari ini.

"Kesalahan saya adalah berkaitan pengedaran dadah. Saya dipenjarakan dari 2021 hingga 2023. Sekarang saya dalam tempoh parol selepas didapati berkelakuan baik ketika menerima hukuman di penjara," katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2023 @ 1:11pm
d