mutakhir

Kerosakan struktur LRT pulih dalam tempoh 2 bulan lagi

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Sepang: Kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan pemberhentian operasi enam stesen transit aliran ringan (LRT) dijangka dapat dibaik pulih dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sebaik struktur itu dibaiki, lima set tren yang digunakan bagi operasi di enam stesen LRT terbabit akan digerakkan semula ke depoh LRT di Ampang untuk penyelenggaraan sebelum kebenaran beroperasi semula diberikan.

"Kita fokus dahulu untuk pembaikan struktur berhampiran Stesen LRT Bandaraya dalam masa satu hingga dua bulan ini.

"Selepas struktur dapat dibaiki, tren kosong itu akan digerakkan semula, balik ke depoh untuk diselenggara.

"Ketika ini enam stesen itu ditutup berikutan masalah struktur di Stesen Bandaraya menyebabkan lima set tren yang beroperasi antara enam stesen terbabit tidak boleh balik ke depoh untuk penyelenggaraan, itu sahaja sebabnya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tenaga Diperbaharui Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), di sini, hari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan operasi perkhidmatan LRT di enam stesen laluan Ampang-Sri Petaling membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur dihentikan sejak Ahad lalu.

Menurutnya, pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Katanya, ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

Disiarkan pada: April 6, 2023 @ 1:47pm
d