mutakhir

Remaja, gadis muda semakin ramai hisap vape

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Golongan remaja kini bebas keluar dan masuk di kedai menjual produk vape, tanpa rasa bimbang untuk membeli cecair berasaskan nikotin bagi gajet vape mereka.

Situasi itu dikesan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ketika melakukan tinjauan di beberapa kedai vape di negeri ini, dua hari lalu.

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis NV Subbarow berkata, tinjauan itu mendapati sebahagian daripada pelanggan kelihatan sangat muda, dan ada yang mengaku baharu berusia 14 tahun.

Katanya, mereka memberitahu sebelum ini takut hendak masuk ke kedai vape bagi membeli cecair nikotin itu.

"Namun, selepas 1 April, mereka bebas memasuki mana-mana kedai vape dan dibenarkan masuk secara sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, ada dalam kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan duti eksais tetapi ia tidak menghalang mereka bagi membeli 'jus' cecair nikotin.

Katanya, penghisap vape dalam kalangan pelajar mendakwa mereka mendapatkan wang daripada rakan dan ahli keluarga bagi membeli cecair berkenaan.

"Sementara dua pemilik kedai vape yang ditemui mendakwa tidak terkesan dengan duti eksais sebaliknya ia meningkatkan jualan malah mengakui lebih ramai gadis muda menjadi pelanggan baharu.

"CAP bimbang trend ini akan membawa kepada keadaan tidak sihat bagi generasi muda kerana vape dan e-rokok berkesan membantu mencipta nikotin ketagih generasi baharu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengambil langkah segera bagi membendung remaja membeli cecair nikotin tanpa sebarang masalah.

"Jika tidak, kita mungkin perlu menubuhkan lebih banyak pusat pemulihan dadah di negara ini.

"CAP percaya pertama sekali ialah pendidikan kepada remaja dan ibu bapa adalah penting. Remaja biasanya memperoleh sebahagian besar pengetahuan mereka mengenai vape dan e-rokok daripada media sosial," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan jualan vape dihalalkan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu yang mana duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Disiarkan pada: April 8, 2023 @ 3:56pm
d