mutakhir

'Aidilfitri suram tanpa ayah, ibu' [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Siapa sangka dalam tempoh masa lapan bulan pemergian ibu, ayah pula menyusul apabila ditemukan lemas selepas hilang ketika memasang rawai," kata Fathanah Abdul Latif, 22.

Menurutnya, bapanya, Abdul Latif Mahmud, 62, meninggal dunia 6 Mac lalu manakala ibunya Wan Zaharah Wan Ali, 56, pula meninggal dunia pada 28 Ogos tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, kedua ibu bapanya adalah nelayan tradisional di Kampung Kong Kong Laut di sini.

"Pada hari kejadian, arwah bapa keluar untuk memasang rawai baharu untuk menangkap ikan di Sungai Nyor pada 6 Mac lalu dan gagal pulang ke rumah.

"Tidak dapat digambarkan perasaan kami apabila menerima berita pada 12 tengahari pada 8 Mac lalu bahawa jasad arwah ditemukan berdekatan kawasan paya di sungai berkenaan. Kami difahamkan kejadian mungkin berpunca daripada angin kuat," katanya.

Fathanah berkata, dia dan dua adik perempuan rapat dengan bapa dan malah lelaki itu tidak ketinggalan untuk menyediakan makanan untuk mereka walaupun sibuk ke laut.

"Malah bapa juga tidak ketinggalan untuk mengirim makanan laut menerusi bas sebulan sekali kepada keluarga kakak yang tinggal di Perak.

"Arwah penyayang dan pasti ketika sambutan Aidilfitri ini, kami merindui air tangan masakannya termasuk rendang, dodol dan ketupat," katanya.

Katanya, dia tinggal bersama Naiemah, 20, dan bersyukur kerana kakaknya, Khairunnisa, 31, bercadang untuk berpindah ke perkampungan itu bersama keluarganya.

"Saya memang mewarisi kemahiran menangkap ikan dari arwah ibu dan ayah namun malangnya saya tidak memiliki lesen mahupun bot kerana bot milik arwah bapa tidak ditemukan ketika kejadian.

"Saya berharap dapat meneruskan kegiatan penangkapan ikan seperti bapa sekiranya berpeluang pada masa depan," katanya ketika ditemui di Kampung Kong Kong Laut di sini hari ini.

Keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada ahli dewan undangan negeri (Adun) Tiram, Azizul Bachok; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Johor), Tong Sing Chuang dan Pegawai Ehwal Ekonomi Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Hafil Azman.

Tong berkata, Abdul Latif adalah seorang nelayan yang mencarum di Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi LKIM.

"Anak perempuan bongsu arwah layak untuk mendapat pencen faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat dari PERKESO kerana berusia bawah 21 tahun," katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2023 @ 2:50pm
d