mutakhir

'Saya tetap sayang mak walau diharam susu badan, dihalau'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: "Anak mana yang tak sayangkan ibunya. Biarpun dihalau dan juga diharamkan susu yang diberi, saya tetap sayang dan tak pernah membencinya," kata Mohamad, 20.

Pemuda ini penghuni paling lama di rumah gelandangan milik Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) di sini.

Menurutnya, sejak keluar dari rumahnya dia berlindung di rumah perlindungan itu lebih setahun lalu dan diberi layanan yang jauh lebih sempurna daripada keluarga sendiri.

Namun Mohamad (bukan nama sebenar) tidak menafikan yang dia rindukan keluarganya dan mahu kembali bersama mereka.

"Setiap kali puasa atau raya mesti teringatkan mak dan teringin nak bersama mereka, namun mak dan ayah tiri bersikap seperti orang asing pada saya.

"Tak tahu di mana salah saya kerana dari kecil lagi saya dihantar ke sekolah tahfiz sehinggalah umur 12 tahun.

"Selepas ayah meninggal dunia dan apabila mak berkahwin pula dengan bapa tiri beberapa tahun lalu, saya sentiasa menerima layanan buruk sehinggalah dihalau keluar dari rumah pada awal Januari tahun lalu," katanya ketika ditemui pada program jelajah sahur Taiping Medical Centre (TMC) bersama agensi kerajaan dan media, Sabtu lalu.

Mohamad berkata, dia dibawa ke rumah gelandangan itu oleh penduduk kampung pada 14 Januari 2022 dan tanggal itu akan sentiasa dikenang kerana hidupnya berubah dan serba serbi lengkap.

"Sudah ibarat syurga buat saya, namun tetap terasa kekurangan iaitu kasih sayang ibu sendiri.

"Apakan daya, mereka dah 'buang' saya dan walau apapun kesalahan mereka, saya tetap maafkan dengan seikhlasnya," katanya yang kini berkerja di sebuah hotel di bandar ini.

Kongsinya, dia mempunyai dua adik perempuan berusia 13 dan 17 tahun yang kini menetap bersama ibu yang berumur lewat 30-an dan bapa tiri, 50-an.

Katanya, sebelum ini sudah dua kali dia menyambut Syawal di rumah gelandangan dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu Presiden KMM Taiping, Faizzul Amri Shahabuddin berkata, rumah transit rakan jalanan itu dibuka pada 2020 dan sudah menempatkan lebih 70 orang.

"Rumah ini mempunyai enam penjaga manakala penghuninya silih berganti. Maksimum 10 penghuni boleh ditempatkan pada satu-satu masa.

"Selain tempat perlindungan sementara untuk mereka yang mempunyai masalah rumah ini turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan 'mental awareness'," katanya.

Sementara itu Presiden KMM Taiping, Faizzul Amri Shahabuddin berkata, pihaknya ada menemui keluarga Mohamad namun tidak mendapat kerjasama sewajarnya sekali gus memberi gambaran sebenar dia dihalau.

"Mohamad juga adalah seorang Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran," kataya.

Dalam pada itu, Faizzul Amri berkata rumah transit yang dibuka pada 2020 itu menempatkan lebih 70 orang dan mempunyai enam penjaga manakala penghuninya silih berganti. Maksimum 10 penghuni boleh ditempatkan pada satu-satu masa.

"Selain tempat perlindungan sementara untuk mereka yang mempunyai masalah, rumah ini turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan kesihatan mental," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2023 @ 8:23am
d