mutakhir

Polis siasat insiden lelaki tendang pintu surau

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kajang: Polis menyiasat insiden salah faham seorang lelaki yang bertindak menendang pintu surau di sebuah flat di Sungai Chua di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun berkaitan kes khianat harta benda di surau terbabit.

"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.25 malam apabila seorang lelaki bertindak menendang pintu surau hingga menyebabkan kerosakan.

"Hasil siasatan, suspek yang tinggal tidak jauh dari surau berkenaan menyatakan tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang kuat hingga mengganggunya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, susulan laporan diterima, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan lelaki berusia 46 tahun bagi membantu siasatan dan dia dibebaskan dengan jaminan pada Isnin lalu.

"Kedua-dua pihak memberikan kerjasama kepada polis berkaitan isu perselisihan faham berkenaan di mana saksi-saksi lain turut dipanggil memberikan keterangan termasuk menyebarkan video yang tular di media sosial berkaitan dengan kejadian ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 11:26am
d