mutakhir

Kilang peluru paling canggih di Kuala Pilah

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Sebuah kilang peluru paling canggih di negara ini bakal dibina di Senaling, Kuala Pilah oleh sebuah syarikat dengan nilai pelaburan permulaan berjumlah RM80 juta.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ketika ini, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pembinaan kilang berkenaan.

"Sebelum ini, lawatan dan naziran sudah dilakukan oleh KDN dan beberapa pihak berkepentingan di tapak pembinaan berkenaan. Kami hanya menunggu jawapan secara bertulis daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Buat masa kini, prosesnya masih berjalan yang mana saya sendiri berhubung dengan menteri supaya dipercepatkan dan didapati ia positif. Apabila diluluskan kelak, pembinaan akan bermula serta-merta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Rafie berkata, kilang yang dijangka menjadi kilang paling canggih di Malaysia itu bakal dibina di tanah seluas 80.93 hektar oleh syarikat Myaltech Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Negeri Sembilan.

"Pembangunan kilang ini membabitkan pelaburan permulaan RM80 juta oleh Myaltech Sdn Bhd yang akan mendapatkan kepakaran daripada syarikat pengeluar peluru terkenal dari Switzerland.

"Kilang ini akan menghasilkan peluru saiz kecil berkaliber. Proses penghasilannya dari awal hingga akhir akan dilakukan di kilang ini," katanya.

Tambah beliau, pembangunan kilang berkenaan yang dijangka bermula pada tahun ini akan membuka sekurang-kurangnya 200 peluang pekerjaan mahir kepada penduduk tempatan sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi sekitarnya.

"Dengan kewujudan kilang peluru ini, ia akan mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan senjata api import. Pengeluar akan mendapatkan kepakaran daripada syarikat berpengalaman.

"Justeru, penduduk di Kuala Pilah khas di Senaling tidak perlu khuatir mengenai tahap keselamatan mereka sudah semestinya kerajaan akan mengambil perhatian serius mengenai aspek keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 1:45pm
d