mutakhir

Buruh dipenjara 6 bulan kerana hina Agong, bangkitkan isu perkauman

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang buruh kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan membangkitkan isu perkauman menerusi Facebook.

Hakim N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu terhadap Abdul Rahim Abdullah, 49, selepas orang kena saman (OKS) berkenaan mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

OKS diarahkan menjalani hukuman penjara dua bulan bagi tiga pertuduhan menghina Agong dan empat bulan kerana tiga pertuduhan berhubung isu perkauman.

Hukuman terbabit akan berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, OKS didakwa menggunakan laman profil Facebook 'Tuk Chik' secara sedar membuat dan memulakan komunikasi yang jelik sifatnya membabitkan isu perkauman.

Kesalahan dilakukan pada jam 3.34 petang, 25 Januari lalu, yang kemudian dibaca di sebuah restoran jam 5 petang, Sabtu lalu.

Berdasarkan pertuduhan kedua hingga keempat, OKS didakwa menggunakan laman profil sama membuat komunikasi bersifat jelik kepada Agong.

Kesalahan antara jam 10.52 hingga 11.26 pagi pada 2 dan 3 April lalu yang kemudian dibaca

di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, jam 10.45 pagi, 5 April lalu.

Pendakwaan mengikut Sesyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menyesal dengan perbuatannya.

"Saya kesal dan memohon maaf kepada institusi diraja serta tiada niat untuk memprovokasi mana-mana pihak," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagi memberi mesej kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

"Dalam kes ini secara terang OKS melanggar hak kebebasan bersuara dan gagal menghayati Rukun Negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

"Bagi hantaran isu perkauman, OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan ketatasusilaan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk," katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2023 @ 3:13pm
d