mutakhir

Wisma Putra sedia bawa keluar rakyat Malaysia di Sudan

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Wisma Putra sedang memantau secara dekat situasi pertempuran di Khartoum, Sudan ketika ini dan bersedia dengan kebarangkalian untuk membawa keluar semua rakyat Malaysia yang berada di sana.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan negara lain khususnya pihak kedutaan asing yang berada di sekitar kedutaan Malaysia.

"Kita mahu pastikan rakyat Malaysia selamat di sana. Kita akan sentiasa pantau, termasuk kebarangkalian untuk kita mengeluarkan rakyat Malaysia.

"Kita sedang bekerjasama dengan lain-lain negara termasuk kedutaan yang berada di kawasan sekitar kedutaan Malaysia dan pejabat PETRONAS," katanya menerusi satu video malam ini.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya mengelak sebarang kejadian yang sukar dan sedang memperinci mengenai urusan agihan bekalan makanan dan hal pergerakan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Katanya, sehingga kini, jumlah rakyat Malaysia yang sudah dikenalpasti berada di Sudan ialah seramai 29 orang dengan kesemua mereka dilaporkan selamat.

"Meraka terdiri 11 pelajar, tiga 'Home Based Staff' dan lapan ahli keluarganya; masing-masing seorang yang bekerja dengan PETRONAS; Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sementara, dua orang yang bekerja dengan PBB di Wilayah Abyei serta juga masing-masing seorang yang bekerja di World Vision dan di Hotel Lian Tian International," katanya.

Zambry berkata, bilik operasi 24 jam juga sudah dilancarkan di Wisma Putra bagi memantau keadaan semasa kejadian di Sudan, disamping komunikasi berkumpulan melalui WhatsApp turut dilakukan.

"Kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, dinasihatkan ambil langkah berjaga- jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara waktu.

"Mereka boleh berhubung terus dengan Pihak Malawakil Malaysia di Sudan dan sebarang makluman atau tindakan lanjut akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa," katanya.

Media antarabangsa siang tadi melaporkan, angka korban akibat pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Sudan meningkat kepada 56 orang setakat tengahari tadi.

Pertempuran yang menyaksikan insiden tembakan dan letupan di kawasan tanah tandus Khartoum itu turut menyebabkan lebih 600 mangsa cedera

Disiarkan pada: April 16, 2023 @ 11:37pm
d