mutakhir

Trafik Lebuhraya KL-Karak sesak sebab kerja penyelenggaraan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kerja-kerja penyelenggaraan jalan menyebabkan kesesakan teruk dari Kilometer (KM) 20.1 hingga KM30.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, berhampiran Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak Anih Berhad selaku pengendali lebuh raya berkenaan.

"Pihak kami dan JSPT Bukit Aman sudah maklumkan kepada pihak Anih bahawa kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan iaitu penurapan jalan menyebabkan kesesakan.

"Kesesakan teruk disebabkan di laluan berkenaan, hanya dibuka satu lorong, dan pihak kami serta JSPT Bukit Aman sudah memaklumkan kepada pihak Anih supaya membuka dua lorong," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong juga dihubungi bagi memaklumkan mengenai kesesakan berkenaan.

"Difahamkan, kesesakan masih lagi berlaku di laluan terbabit dan kerja-kerja penyelenggaraan itu dikatakan akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga jam.

"Sehingga 9 pagi tadi, trafik sesak sejauh 11.7 KM dari KM 20.1 hingga KM31.8 lebuh raya itu arah timur berikutan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi terbabit," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2023 @ 9:28am
d