mutakhir

Lima hektar kebakaran tanah gambut belum padam [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam api membabitkan baki lima hektar daripada 12 hektar tanah gambut yang terbakar di Mukim Beris Lalang, Bachok, dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, sejak empat hari lalu, seramai 50 anggota dari enam balai bomba dan penyelamat (BBP) berkampung di lokasi dan operasi pemadaman berlangsung tanpa henti.

"Setakat ini, masih berbaki lima hektar lagi tanah gambut sedang dalam operasi pemadaman dan untuk padam sepenuhnya memakan masa, malah mungkin sehingga Aidilfitri ini.

"Operasi pemadaman membabitkan empat sektor dengan menggunakan sumber daripada air bawah tanah (telaga tiub) memandangkan kawasan yang terjejas tidak mempunyai sumber air terbuka berdekatan.

"Selain pemadaman di permukaan, kita serap juga air di bawah tanah supaya teksturnya menjadi lembab sekali gus mengelakkan asap dan tanah terbakar semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) dan Ops Raya Aidilfitri 2023, di sini, semalam.

Zainal berkata, permohonan pinjaman aset pemadaman khas api hutan iaitu GS Mark III daripada Pusat Penyelidikan Kebombaan (Puspek) sudah dilakukan bagi membantu operasi pemadaman dengan lebih efektif.

Katanya, bomba bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menjalankan kaedah 'boring' untuk bekalan air.

"Nasihat saya kepada orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dalam musim kemarau ini walau dengan tujuan membersihkan kebun kerana boleh mendatangkan musibah dan menyusahkan ramai pihak," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2023 @ 3:19pm
d