mutakhir

Lelaki 'amuk' gigit jari manis polis hingga putus

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Anggota polis putus hujung jari manis akibat digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila beberapa anggota polis didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit sambil mendakwa mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru ke perkarangan balai polis terbabit.

"Suspek turut membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah.

"Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya ditahan dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

"Difahamkan, suspek pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 2:54pm
d