mutakhir

Semua saman trafik polis layak diskaun kecuali dalam bicara mahkamah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati Kadar Khas Bayaran Saman RM50 kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, tawaran yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berbeza dengan tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60 peratus sempena Peringatan Hari Polis ke-216, baru-baru ini.

Menurutnya, diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran.

"Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri semalam, ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60 peratus itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.

"Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula 21 April hingga 21 Mei 2023," katanya.

Mat Kasim berkata, PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.

Semalam, Anwar mengumumkan Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 bagi semua saman trafik tahun 2022 dan sebelumnya, bermula 21 April hingga 21 Mei.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 4:25pm
d