mutakhir

Kompleks ICQS Bukit Berapit Pengkalan Hulu akan dibina baharu - KDN [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu di Pengkalan Hulu, daerah Hulu Perak yang kedudukannya sekarang disifatkan agak jauh daripada pintu sempadan antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada 11 April lalu membabitkan pembinaan bangunan baharu ICQS terbabit menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurutnya, kedudukan ICQS Bukit Berapit sekarang yang berjarak 700 meter daripada pintu sempadan antarabangsa menyebabkan isu pencerobohan dan penyeludupan sama ada ke luar atau ke dalam negara kerap berlaku.

"Memang isu ini dibangkitkan banyak kali dalam mesyuarat keselamatan daerah Hulu Perak dan juga keselamatan negeri berkaitan dengan kedudukan bangunan ICQS Buki Berapit yang agak jauh iaitu kira-kira 700 meter daripada pintu sempadan antarabangsa.

"Ia menyebabkan boleh berlaku isu-isu pencerobohan sama ada kemasukan daripada luar negara atau sebaliknya memandangkan kedudukannya yang agak jauh.

"Jadi perkara ini memang menjadi perhatian kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan memandangkan ia sudah dibangkitkan banyak kali," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui dalam Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata, masih terlalu awal untuk menganggarkan jumlah kosnya memandangkan banyak dokumen serta skop perkara berkaitan perlu diteliti terlebih dahulu.

Katanya, kerja penyediaan dokumen serta skop berkenaan dijangka dapat dilaksanakan seawal tahun 2025 bagi membolehkan kerja-kerja fizikal dapat dilaksanakan di tahun berikutnya.

"Disebabkan di Thailand khususnya di Betong ada lapangan terbang, kita jangkakan kawasan sempadan dan sekitarnya akan jadi sibuk pada masa depan, jadi perlunya ada kawalan lebih kemas termasuk melalui pembinaan ICQS baharu itu nanti.

"Kita menyedari bahawa isu kawalan sempadan negara sangat penting dan ia adalah satu daripada fokus kementerian iaitu supaya sempadan negara penting untuk dikawal agar isu pencerobohan dan beberapa perkara berkaitannya dapat dikawal dan dibendung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi langkah jangka pendek sementara ICQS Bukit Berapit yang baharu siap, arahan akan dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam waktu terdekat supaya memindahkan sekatan jalan raya (SJR) daripada kedudukan sekarang ke lokasi berhadapan dengan pintu masuk antarabangsa.

"Ini adalah langkah jangka pendek dan kita harap isu pencerobohan dan penyeludupan dapat ditangani oleh PDRM bersama dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) termasuk agensi di bawah selain KDN.

"Apabila kedudukan SJR polis dekat dengan pintu masuk antarabangsa, kawalan keselamatan serta saringan awal dari PDRM boleh dibuat di situ," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2023 @ 10:41pm
d