mutakhir

Memandu lebih 20 jam untuk sampai ke Kelantan

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu dekat Gemuruh, di sini, mulai sesak dengan kenderaan perantau yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri, hari ini.

Penutupan jalan Gua Musang-Kuala Lipis menjadikan aliran trafik di plaza tol berkenaan semakin sesak berikutan kenderaan yang hendak memasuki Kelantan dikatakan memilih Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi mengelak daripada kesesakan lalulintas.

Tinjauan NSTP di plaza tol berkenaan mendapati kenderaan bertali arus memasuki pintu keluar LPT2 itu menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang kira-kira lebih 10 kilometer.

Bagi memastikan aliran trafik lancar, sebanyak lima daripada enam lorong di plaza tol berkenaan dibuka untuk laluan keluar sementara satu untuk laluan masuk ke lebuh raya berkenaan.

Kesesakan di plaza tol berkenaan dikatakan berlaku sejak pagi semalam sehingga jam 4 petang hari ini dan bilangan kenderaan semakin kurang apabila memasuki jam 6 petang.

Bagaimanapun, pertambahan kenderaan dikatakan kembali berlaku selepas waktu berbuka puasa apabila orang ramai kembali memulakan perjalanan selepas berhenti berbuka puasa.

Pengguna, Nik Mohd Kamil Nik Din, 45, dari Ketereh, Kelantan berkata, dia mengambil masa selama 15 jam untuk sampai di plaza tol berkenaan selepas memulakan perjalanan dari Shah Alam, Selangor jam 12.30 tengah malam.

"Kesesakan teruk bermula di pintu masuk Tol Gombak sehingga Bentong. Ini adalah pengalaman pertama memandu lebih 15 jam untuk sampai ke kampung.

"Setiap tahun apabila balik kampung beraya, saya melalui Jalan Gua Musang tetapi kali ini memilih LPT2 sebab jalan Gua Musang ditutup untuk pembinaan cerucuk," katanya yang memiliki empat anak berusia antara sembilan hingga 13 tahun.

Seorang lagi pengguna, Shahrul Azwan Abdullah, 25, yang baharu mendirikan rumah tangga awal tahun ini, berkata pengalaman menempuh kesesakan selama 20 jam adalah sesuatu tidak dapat dilupakan pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Saya dari Kuala Lumpur dan pulang berhari raya di rumah keluarga isteri di Bachok Kelantan.

"Kalau perjalanan biasa melalui Jalan Kuala Lipis - Gua Musang hanya antara lima hingga enam jam sahaja tetapi ini saya memandu sudah hampir 20 jam," katanya yang bertolak dari Kuala Lumpur jam 12 tengah malam tadi.

Selain kesesakan lalu lintas, tangki air kenderaan juga mengalami kerosakan disebabkan enjin panas berikutan terlalu lama berada dalam kesesakan selain cuaca panas.

Disiarkan pada: April 20, 2023 @ 7:05pm
d