mutakhir

32,976 kemalangan babitkan pencarum Perkeso pada 2022

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sejumlah 32,976 kes kemalangan jalan raya membabitkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) direkodkan sepanjang tahun lalu dengan 651 daripada adalah kes kemalangan maut.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi)nya, John Riba Marin berkata, secara purata dua pekerja maut setiap hari susulan kemalangan semasa berulang alik dari tempat kerja.

Beliau berkata, sebanyak 45 peratus daripada pekerja maut akibat nahas jalan raya berusia 35 tahun ke bawah.

Katanya, golongan ini adalah sumber tenaga kerja yang produktif dan penyumbang utama kepada ekonomi keluarga dan juga negara.

"Di Selangor, terdapat 7, 136 kes kemalangan jalan raya membabitkan pekerja yang dilindungi Perkeso pada 2022 dengan 171 kes adalah kemalangan maut.

"Sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian menjadi penyumbang tertinggi kepada kadar kemalangan jalan raya membabitkan pekerja di negeri ini," katanya ketika membaca ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri DrMohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 peringkat kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini yang dilancarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Disiarkan pada: April 20, 2023 @ 9:18pm
d