mutakhir

Remaja mengaku salah 'wheelie' pada 1 Syawal [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan aksi bahaya ketika menunggang motosikal pada 1 Syawal lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menunggang motosikal dengan cara mengangkat tayar hadapan di mana aksi itu berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu kira-kira 12 tengah hari pada 22 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Kelantan, Nor Zaimah Mohamed.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM900 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri yang melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal bersama tampil menyerah diri selepas dua hari bersembunyi.

Pasangan berusia 16 dan 17 tahun itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas menghilangkan diri sejak dua hari lalu, sebaik video mengenai aksi 'wheelie' yang dilakukan mereka tular menerusi media sosial.

Disiarkan pada: April 30, 2023 @ 2:11pm
d