mutakhir

Sedondon berbaju raya dengan 61 kucing kesayangan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bayan Lepas: Bagi pencinta kucing, haiwan itu bukan sekadar peliharaan tetapi sudah dianggap seperti sebahagian daripada ahli keluarga sendiri yang selalu disayangi.

Itu yang dirasai Raziellia Nor Saafri, 32, yang terlalu menyayangi 61 kucing peliharaannya biarpun tidak semua haiwan itu berbaka 'kayangan' dan mahal kerana kebanyakannya adalah kucing jalanan.

Disebabkan itu, Raziellia juga tidak ketinggalan menyediakan persiapan baju raya untuk semua kucing peliharaannya pada Aidilfitri pertama lalu dengan mengikut tema warna keluarganya.

Jurutera itu berkata, dia dan ahli keluarga memakai pakaian sedondon di pagi Aidilfitri dengan memilih tema ungu dan semua kucing peliharaannya juga memakai pakaian warna sama.

Menurutnya, semua baju kucing itu dijahit sendiri oleh ibunya yang mengambil masa beberapa hari dengan menggunakan 17 meter kain pasang.

"Saya jaga 61 kucing kebanyakannya diselamatkan di jalanan dan ada baka Domestic Short Hair serta tiga kucing berbaka Persian. Semua kucing sudah dianggap seperti keluarga dan tidak akan dilupakan pada Aidilfitri ini, malah mereka juga ada baju raya.

"Ini tahun pertama semua kucing beraya dengan baju raya kerana tahun lalu baju raya mereka tidak sempat siap. Semua baju itu ibu yang jahit, kami guna 17 meter kain yang semeter berharga RM2 dan memang lebih jimat jahit sendiri," katanya yang tinggal di Batu Maung, di sini.

Katanya, dia juga sudah lama memasang niat untuk memakaikan semua kucing baju raya, namun kekangan masa menyebabkan ia selalu tertangguh.

"Tahun ini memang bersungguh-sungguh supaya hasrat itu menjadi kenyataan dan semua baju raya kucing sudah dijahit ibu lebih awal, sejak dua bulan sebelum Ramadan," katanya.

Raziellia berkata, dia mengambil masa 30 minit untuk menyiapkan 61 kucing dengan mengakui ia agak sukar untuk beberapa kucing saja, manakala selebihnya mudah dipakaikan baju.

"Saya mula siapkan mereka pada jam 10 pagi tetapi keadaan cuaca ketika ini menjadi cabaran dan saya tidak boleh membiarkan kucing pakai baju terlalu lama sebab panas," katanya mengakui tidak berasa terbeban melakukan usaha itu.

Katanya, dia menyimpan impian untuk mempunyai tempat perlindungan kucing untuk menempatkan haiwan jalanan yang kurang bernasib baik supaya kebajikan dan keselamatan mereka terbela.

"Saya pencinta kucing dan bercita-cita mempunyai tempat perlindungan kucing sendiri. Saya berharap dapat menyelamatkan lebih banyak kucing yang kurang bernasib baik," katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2023 @ 3:53pm
d