mutakhir

Kali kedua terpilih

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Pelajar Kolej Vokasional Keningau, Sabah sekali lagi melakar kejayaan apabila karya puisi nukilannya terpilih diterbitkan buat kali kedua dalam majalah sastera keluaran United Kingdom.

Puisi nukilan pelajar jurusan bakeri dan pastri kolej berkenaan, Ashraf Daniel Anuar, 18, bertajuk I Took It On Myself antara 13 karya diterbitkan dalam edisi khas majalah Margate Bookie Zine, tahun ini.

Ashraf Daniel berkata, puisi sama ditulisnya pernah diterbitkan di majalah itu pada tahun lalu dan tahun ini pihak berkenaan sekali lagi memilih coretannya itu untuk kompilasi bagi edisi khas.

Menurutnya, pemilihan kali ini lebih manis buatnya kerana ia terpilih antara puluhan karya dari seluruh negara yang diterima majalah berkenaan dan dia mendedikasi kejayaan itu untuk keluarga, rakan, guru dan kolej yang banyak membantunya.

"Puisi itu berdasarkan perkara lalu perlu dilupakan dan ia merumuskan refleksi yang menyalahkan diri sendiri atas masalah menimpa ahli keluarga saya namun sedar saya perlu lebih rasional dan optimistik dalam menghadapi isu berkenaan.

"Puisi adalah satu medium untuk saya meluahkan perasaan yang mula diminati sejak tiga tahun lalu dan ia membantu saya menambah ilmu terutama sastera bahasa Inggeris serta kemahiran bahasa itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Kajian dan Inovasi merangkap guru Bahasa Inggeris kolej berkenaan, Dr Sirhajwan Idek berkata, majalah keluaran persatuan kebajikan Margate Bookie itu berpangkalan di Kent, England.

Menurutnya, persatuan berkenaan menerbitkan kompilasi karya asli yang dipilih daripada karya diterima dari seluruh dunia setiap tahun.

"Hasil karya diterbitkan adalah sebanyak 50 karya untuk setiap edisi tahunan namun bagi tahun ini, ia adalah edisi khas yang menerbitkan 13 karya sahaja.

"Lima pelajar kolej kami berjaya menerbitkan karya mereka berupa lukisan, puisi, esei dan cerpen pada 2021 dan 2022," katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu turut mendapat perhatian pengarah kolej berkenaan, Christine Stanislaus Kinsik yang bangga dengan pencapaian Ashraf Daniel.

"Beliau turut berharap pelajar terus didedahkan kepada dunia penulisan karya sastera yang mampu meningkatkan kemahiran bahasa dan menanam nilai murni dalam kalangan pelajar," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2023 @ 7:30am
d