mutakhir

Video tular harimau baham lembu bukan di Felda Ulu Tebrau, kejadian di Indonesia

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan video tular memaparkan imej harimau membaham lembu berlaku di Felda Ulu Tebrau di Ulu Tiram di sini, sebaliknya ia kejadian yang dilaporkan di Indonesia.

Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata, perkongsian video itu boleh mengelirukan ramai dan seharusnya dipadam kerana ia tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau.

"Perhilitan masih menjalankan siasatan dan kami sedar ada gambar dan video yang tular mendakwa ia berlaku di Felda Ulu Tebrau.

"Video tular yang menunjukkan harimau membaham lembu berkenaan dipercayai berlaku di Indonesia, ia perlu dipadam segera untuk mengelak kekeliruan orang awam," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wse Tse berkongsi sebuah video berdurasi 17 saat menunjukkan kejadian di sebuah kebun yang dikatakan berlaku di Felda Ulu Tebrau.

Perkongsian beliau menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau Ab Jalil Sahlan berkata, bukan saja penyebaran video tular berkenaan, ada individu berkongsi maklumat palsu hingga ia meningkatkan kegusaran ramai.

"Apa pun kami masih menunggu laporan dan maklumat daripada Perhilitan yang memantau dan memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, penduduk di Felda Ulu Tebrau digemparkan dengan dakwaan kemunculan harimau selepas tapak kaki haiwan berkenaan ditemukan.

Selain itu, beberapa bangkai binatang ternakan turut ditemukan dalam kawasan semak di kebun sawit penduduk dipercayai akibat serangan haiwan buas itu.

Disiarkan pada: May 2, 2023 @ 11:05pm
d