mutakhir

Rompak barang kemas RM1.8 juta: Suspek guna nombor pendaftaran palsu

Oleh Ahmad Hasbi

Kuala Pilah: Suspek yang melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat lorong belakang sebuah kedai emas di Jalan Pasar Rabu, di sini, pagi semalam didapati menaiki kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Kejadian jam 11.30 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan memaparkan terdapat dua kenderaan digunakan suspek ketika kejadian dan nombor pendaftarannya juga berjaya direkodkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, polis masih menjalankan siasatan dan giat memburu suspek.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima panggilan telefon daripada pekerja sebuah kedai emas di Jalan Undang Johol, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

"Individu itu melaporkan dua pengedar emas disamun di lorong belakang kedai berkenaan. Mangsa dikatakan membawa emas seberat tujuh kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis mendapati dua suspek memakai topeng, bersenjatakan parang panjang dan menaiki dua kereta.

"Suspek menaiki dua kereta masing-masing jenis Toyota Camry berwarna putih, nombor pendaftaran BKK 9169 dan Toyota Corolla Altis berwarna perak, nombor pendaftaran BLJ 328. Kedua-dua disyaki palsu.

"Justeru, kami sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek. Kami memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, boleh menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-4842999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Media semalam melaporkan, dua pengedar emas dirompak dua lelaki bertopeng yang melarikan dua beg berisi tujuh kg emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu.

Disiarkan pada: May 4, 2023 @ 11:37am
d