mutakhir

Pilih kerja faktor pengangguran di Kelantan tinggi [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Memilih kerja antara faktor menyebabkan kadar pengangguran di Kelantan masih tinggi iaitu sebanyak 4.1 peratus pada Februari lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob berkata, data daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) itu menunjukkan kadar pengangguran di negeri ini tinggi berbanding kadar pengangguran negara iaitu 3.6 peratus.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ramai dalam kalangan rakyat negeri ini yang memilih kerja dan tidak mahu keluar dari Kelantan serta mahu kerja di negeri sendiri.

Menurutnya, selain itu kebanyakan rakyat negeri ini yang gemar kerja sendiri dan tidak formal menyebabkan kadar pengangguran tinggi iaitu 4.6 peratus pada Disember tahun lalu, 4.4 peratus Januari lalu dan 4.1 peratus Februari lalu.

"Bagi mengurangkan pengangguran, kita akan cuba kembalikan mereka kepada kerjaya yang formal.

"Kita bercadang mendapatkan penempatan pekerjaan sebanyak mungkin untuk membantu golongan yang mahu bekerja.

"Sasaran penempatan yang ditetapkan tahun ini adalah sebanyak 6,800, tahun lalu kita berjaya mencapainya apabila seramai 5,500 individu diberi penempatan kerja," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perkeso Kelantan di Wisma Perkeso di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nora berkata, menerusi insentif kerjaya Madani oleh kerajaan, pihaknya akan berusaha mengurangkan kadar pengangguran dengan menganjurkan karnival kerjaya.

"Menerusi daya kerjaya, insentif kewangan sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan akan diberikan kepada majikan yang mengambil pekerja baharu bermula 1 Januari dalam kalangan individu atau belia yang lama menganggur dan golongan mudah terjejas termasuk Orang Asli, wanita, miskin tegar, individu diparol, bekas banduan, orang kurang upaya (OKU) dan graduan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Bagi meningkatkan potensi individu bekerja di bawah sektor tidak formal untuk mendapat kerja formal, mereka akan diberi latihan menerusi program bina kerjaya," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2023 @ 2:40pm
d