mutakhir

Tiada perubahan SOP kendali haiwan berbisa-APM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Tiada sebarang perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan haiwan berbisa yang diguna pakai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana ia sudah lengkap.

Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata, anggota APM, Mohd Idris Samad, 34, yang maut akibat dipatuk ular tedung dalam kejadian pada Ahad lalu mengikut SOP yang betul dengan pemakaian lengkap seperti sarung tangan.

"SOP sedia ada adalah lengkap dan apa yang berlaku bukan silap sesiapa. Malah, bukan salah SOP atau individu itu sendiri. Allahyarham adalah anggota yang mahir dan memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan haiwan berbisa.

"Kami sangat terkesan dengan kehilangan beliau memandangkan bukan semua orang ada kepakaran seperti itu (kawal ular tedung)," katanya dalam sidang media pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri APM di Ibu Pejabat APM, di sini, hari ini.

Katanya, sumbangan kewangan akan disalurkan kepada ahli keluarga Allahyarham Mohd Idris bagi meringankan beban mereka.

"Sumbangan itu membabitkan (pampasan) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insurans dan orang awam," katanya.

Semalam, media melaporkan Mohd Idris meninggal dunia selepas dua hari mendapatkan rawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan akibat dipatuk ular tedung.

Kejadian berlaku ketika anggota yang bertugas di APM Tunjong berkenaan mahu mengalihkan ular tedung yang diletakkan dalam guni ke sangkar.

Ular itu ditangkap di sebuah kampung di Kota Bharu pada Sabtu lalu dan Mohd Idris mahu mengalihkan haiwan berbisa terbabit, namun berlaku insiden di luar jangka apabila celah ibu jari kanan arwah dipatuk.

Disiarkan pada: May 10, 2023 @ 4:38pm
d