mutakhir

Lelaki tampar, tendang perut isteri dipenjara 21 hari

Oleh Ali Iqbal

Batu Pahat: Seorang lelaki dihukum penjara 21 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah tuduhan menampar pipi dan menendang perut isterinya Isnin lalu.

Mohd Zain Jaswadi, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh menampar dan menendang perut isterinya, Siti Rafida Mansor di sebuah rumah di Kampung Parit Bingan Laut, jam 10 malam 8 Mei lalu.

Sebelum kejadian, tertuduh dilaporkan memarahi dan menampar anak lelakinya menyebabkan wanita itu datang untuk menghalangnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja kampung itu bertindak menampar pipi, menumbuk dahi serta menendang perut menyebabkan isterinya mengalami kecederaan sebelum membuat laporan polis.

Berikutan kejadian itu, isteri tertuduh mendapat rawatan di hospital dan pasukan perubatan mengesahkan wanita itu mengalami kecederaan di leher.

Tertuduh kemudian ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman kerana anak guamnya perlu menanggung anaknya masih kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 21 hari berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 9 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 11, 2023 @ 3:14pm
d