mutakhir

Guru sekolah Cina akui agak gementar sampaikan khutbah Jumaat

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kampar: Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yuan, di sini, Muhammad Anas Mohamed Salleh amat menghargai peluang yang diberikan kepadanya untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Daerah Kampar (Masjid An-Nur), di sini, hari ini, khusus bagi mengiktiraf peranan warga guru untuk negara.

Selain menyampaikan khutbah, Muhammad Anas, 30, turut memimpin sebagai imam bagi solat Jumaat yang dihadiri lebih 600 jemaah masjid.

Beliau adalah antara 14 pendidik di Perak yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini masing-masing di masjid negeri serta masjid utama di 13 daerah selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Guru Pendidikan Islam itu berkata, walaupun sudah enam tahun menabur bakti sebagai bilal masjid berkenaan namun ini kali pertama beliau diberi peluang menyampaikan khutbah Jumaat, sekali gus mengakui gementar.

"Ini satu bentuk pengiktirafan kepada kami selaku warga pendidik, jadi selain kepada Tuanku (Sultan Nazrin), saya sangat berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang memilih saya sebagai wakil di daerah ini walaupun saya rasakan ada lagi yang lebih berkelayakan berbanding saya.

"Ini juga kali pertama saya membaca khutbah solat Jumaat. Mungkin ada kawan-kawan kita yang daripada PPD pun datang mendengar khutbah, jadi memang rasa gugup sedikit. Tetapi InsyaAllah saya buat yang terbaik," katanya ketika ditemui NSTP di masjid berkenaan hari ini.

Khutbah bertajuk 'Guru Insani: Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun' itu turut disampaikan di semua masjid di Perak.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, keikhlasan mendidik melampaui batas perbezaan bangsa dan agama dan disebabkan itu sangat tidak wajar bagi segelintir pihak yang memandang sinis kepada guru bertugas di sekolah vernakular sepertinya.

"Sebagai seorang guru, kita perlu mendidik anak murid agar menjadi insan berguna, melangkaui batas bangsa dan agama kerana itu memang tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Bila kita menjadi guru, memang itu tugas kita iaitu mendidik agar ilmu itu dapat diterap dan diamalkan. Jadi tiada masalah perbezaan bangsa dan agama kerana semua sama saja.

"Kalau dikatakan bangsa lain degil, bangsa kita sendiri pun ada yang degil. Kalau dikatakan bangsa sendiri rajin, bangsa lain pun mesti ada yang rajin jadi semua murid sama saja bagi saya," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui tugas menjadi guru sejak berkhidmat pada lapan 8 tahun lalu agak mencabar terutama dalam aspek mendisiplinkan murid selain mendepani situasi masyarakat luar yang segelintir daripadanya agak skeptikal terhadap institusi pendidikan.

"Jadi sebagai guru kita kena sentiasa ambil tahu mengenai perkara-perkara terkini supaya kita boleh menjawab balik apa-apa yang orang luar perkatakan khususnya dalam kalangan pengguna Internet di masa sekarang," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2023 @ 2:20pm
d