mutakhir

Lebih 10,000 banjiri Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kelantan [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Lebih 10,000 pengunjung hadir di Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Seawal 6 petang, rakyat negeri ini sudah mula memenuhi pekarangan stadium dengan masing-masing hadir menaiki kereta, motosikal, malah ada yang datang dengan bas khas.

Suri rumah, Rozita Ariffin, 33, dari Pasir Tumboh berkata, dia datang bersama suami, Mohd Hanafi Mohd Zain, 36, dan tiga anak berusia antara dua hingga lapan tahun.

Katanya, dia hadir ke majlis itu kerana anak sulungnya, Muhammad Amar Danish, 8, mahu melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami sekeluarga sampai 7 petang dan mendapati sudah ramai pengunjung di majlis ini. Namun, kami bersyukur kerana terdapat banyak tempat duduk yang disediakan, selain pelbagai menu menarik yang ada.

"Selain itu, anak saya begitu teruja untuk melihat Perdana Menteri kerana selama ini hanya melihatnya di televisyen sahaja," katanya.

Peniaga kedai makan, Normalzaton Akmal Mohd Noor Kamal, 32, berkata, dia datang dengan menunggang motosikal dan membawa anak keempat daripada enam beradik, Muhammad Akid Mohd Azli, 8.

Dia yang tinggal di Pulau Belanga berkata, dia sampai di rumah terbuka itu pada 7 petang dan gembira melihat kemeriahan majlis berkenaan.

"Walaupun rumah saya ada buat majlis kesyukuran, namun saya tetap mahu hadir di majlis ini untuk melihat kemeriahan suasana rumah terbuka," katanya.

Pekerja sendiri, Ahmad Arif Zainal Abidin, 38, sanggup datang dari Labok, Machang bersama rakan-rakan untuk merasai suasana rumah terbuka.

"Kami bergerak jam 6 petang dan tiba 7 petang. Saya tak sangka rumah terbuka ini meriah dan di luar jangkaan.

"Alhamdulillah, banyak makanan yang disediakan sekali gus memberi pilihan kepada pengunjung," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2023 @ 9:10pm
d