mutakhir

10 pilihan untuk ganti tanah bagi kompleks sukan KSSA

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Kerajaan Selangor mengenal pasti 10 pilihan tapak sebagai proses penggantian tanah bagi membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemaju masih dalam proses penelitian termasuk nilai tanah yang perlu bersesuaian dengan kos keseluruhan kompleks itu.

"Proses penggantian ini tidak semestinya dilakukan secara sekali gus, namun secara berperingkat. Kita sudah membuat tawaran (tanah) dan kini dalam proses akhir untuk memuktamadkannya.

"Kesemua tanah yang sedang dinilai itu termasuk beberapa kawasan di Hulu Selangor dan Klang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Smart Desa Balai Raya Kampung Sungai Air Tawar, di sini hari ini.

Pada 14 Mac lalu, kerajaan negeri dilapor berkata meneliti beberapa pilihan tanah di Klang dan Hulu Selangor, sebagai proses pertukaran tanah untuk membiayai kos pembangunan KSSA, yang dijangka akan diumumkan pada bulan depan.

Bagaimanapun kawasan Pulau Carey tiada dalam senarai itu berikutan difokuskan bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).

Amirudin berkata, pembinaan KSSA bukan hanya menumpukan perobohan Stadium Shah Alam semata-mata, malah membabitkan keseluruhan projek tersebut.

Menurutnya, pembinaan kompleks itu hanya akan dimulakan selepas semua proses penggantian tanah selesai.

"Tindakan perobohan Stadium Shah Alam itu akan dijalankan kelak dan saya menjangkakan bermula tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2023 @ 9:52pm
d