mutakhir

Noktahkan kemiskinan tegar Kelantan tahun ini - PM [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan akan menoktahkan kemiskinan tegar di Kelantan, tahun ini.

Jaminnya, kerajaan akan melaksana dan memastikan kesemua golongan miskin tegar disenaraikan dan tidak berlaku keciciran.

"Tahun ini kita akan menoktahkan kemiskinan tegar. Ada sedikit kekeliruan apabila jumlah golongan miskin tegar di Kuala Krai dan Jeli yang tidak masuk dalam senarai.

"Saya akan pastikan nama-nama itu dimasukkan dan tidak ada nama yang tercicir," katanya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Katanya lagi, kerajaan akan sentiasa berlaku adil dan tidak akan meminggirkan mana-mana negeri meskipun berbeza ideologi politik, dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

"Banyak usaha yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk di negeri ini.

"Tahun ini sahaja, bagi meningkatkan akses kemudahan perubatan kepada komuniti setempat dan mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan sedia ada, kerajaan membaik pulih dan menaik taraf klinik kesihatan di seluruh Kelantan.

"Seperti Bachok; Gua Musang; Jeli; Kota Bharu; Kuala Krai; Machang; Pasir Mas; Pasir Puteh; Tanah Merah dan Tumpat yang merangkumi 38 fasiliti dengan belanja sebanyak RM9.3 juta.

"Dalam sektor pendidikan pula, sebanyak 50 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM175.97 juta," katanya.

Prihatin terhadap isu banjir yang sering membelenggu rakyat Kelantan, Anwar berkata, penyelesaian yang ampuh perlu dirungkai bagi menoktahkan isu iti dengan segera.

"Justeru, beberapa kajian dilaksanakan dalam membendung masalah ini, antaranya Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 dan PLSB Sungai Golok Fasa 3 dengan anggaran kos sebanyak RM5.961 bilion dan Jambatan Palekbang yang akan diputuskan pada Jun ini.

"Peruntukan pembangunan di Kelantan adalah yang terbesar pernah diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan termasuk 107 projek baharu tahun ini," katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2023 @ 10:28pm
d